• 2025-08-25 06:24 PM

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menafikan dakwaan sebanyak 100,000 belia di negeri itu menganggur seperti yang terkandung dalam memorandum Sekretariat Suara Anak Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia negeri Wong Chia Zhen berkata data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kedah menunjukkan kadar pengangguran menurun secara konsisten sejak dua tahun lepas.

“Berdasarkan jumlah tenaga buruh Kedah sebanyak 1.4 juta orang (65 peratus daripada 2.13 juta penduduk), kadar pengangguran 1.7 peratus itu membawa maksud terdapat kurang daripada 23,000 penganggur di seluruh negeri,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Sekretariat Suara Anak Kedah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar bagi mendesak penyelesaian pelbagai isu utama yang membelenggu rakyat negeri ini.

Pengarah Sekretariat Sulaiman Ibrahim melaporkan bahawa memorandum itu menuntut penjelasan kerajaan negeri atas kegagalan menangani pengangguran yang tinggi dalam kalangan anak muda Kedah.

“Dakwaan 100,000 belia Kedah menganggur adalah tidak tepat dan tidak berasaskan data rasmi kerajaan,“ tegas Wong Chia Zhen. – Bernama