BAYAN LEPAS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan seperti didesak sesetengah pihak, selagi tiada unsur penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.
Beliau menekankan komitmen untuk terus memacu pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.
“Insya-Allah saya tidak turun, kalau saya curi duit orang suruh turun, tak apalah. Tapi saya tidak curi duit orang. Saya jadi Perdana Menteri hampir tiga tahun, mana ada kontrak (projek) kita bagi secara rundingan terus, semuanya melalui proses tender,“ katanya dalam Majlis Pecah Tanah Kompleks MADANI Teluk Kumbar.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat, termasuk peningkatan gaji minimum, bantuan kepada pesawah miskin, dan pembangunan perumahan mampu milik. Beliau mengakui tidak semua masalah dapat diselesaikan segera, tetapi kerajaan berusaha sebaik mungkin.
Beliau turut mencabar pembangkang untuk menggunakan saluran demokrasi seperti Parlimen jika ingin menggulingkan kerajaan. “Gunakan Parlimen, kritiklah. Kalau dia (pembangkang) ada cukup jumlah, dia bawa usul, itu caranya,“ tegasnya.
Dalam lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM5 juta bagi pembangunan Daerah Barat Daya tahun ini. - Bernama