• 2025-10-11 04:25 PM

IPOH: Kecemerlangan pendidikan perlu seiring dengan ketinggian akhlak, moral dan etika kehidupan menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan pendidikan berperanan membentuk pelajar menjadi warga negara dan insan yang berguna kepada masyarakat serta negara selain meningkatkan martabat diri dengan ilmu.

Anwar menyatakan kebimbangan mendengar laporan mengenai keterlanjuran dari segi akhlak dan disiplin dalam kalangan pelajar.

“Gedung pendidikan seharusnya menjadi tempat membentuk manusia menjadi warga negara yang baik, seterusnya ibu bapa yang bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara,“ katanya.

Perdana Menteri menyampaikan pesanan itu di hadapan 1,500 pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia dalam program Seminar SPM Cemerlang di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yuk Choy.

Beliau sekali lagi menegaskan pentingnya pelajar menghindari amalan buli di sekolah hingga memaksa kerajaan menggubal undang-undang antibuli.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat mendidik, menjaga akhlak, memperkukuh akidah dan ilmu serta keperibadian,“ ujarnya.

Anwar menjelaskan penggubalan undang-undang antibuli diperlukan kerana sebahagian kecil masyarakat alpa dan perlu diingatkan.

Pada sesi sama, beliau turut menekankan kepentingan menguasai Bahasa Melayu di samping bahasa lain dalam kalangan pelajar.

Beliau menegaskan penguasaan Bahasa Melayu adalah kemestian bagi rakyat Malaysia tanpa mengabaikan kepentingan bahasa lain termasuk Bahasa Inggeris.

Anwar menyatakan keprihatinan terhadap pelajar sekolah antarabangsa yang mungkin tidak menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

“Belajar di Malaysia, anak orang berada, tetapi tidak tahu sejarah Malaysia — itu tidak wajar,“ katanya. – Bernama