IPOH: Seramai 464 Perajurit Muda Udara Tentera Udara Diraja Malaysia telah berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan mereka di Akademi Tentera Udara di sini hari ini.
Upacara Perbarisan Tamat Latihan Siri 69/25 yang berlangsung dengan penuh istiadat telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Perajurit Muda Udara Wanita Norshafina Mohd Nooh dari Segamat muncul sebagai peserta wanita pertama yang menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan.
Perajurit Muda Udara Muhammad Amzar Amsyar Aznan dari Taiping pula meraih Anugerah Perajurit Muda Udara Ketenteraan Terbaik.
TUDM dalam kenyataannya memaklumkan bahawa seramai 342 perajurit muda lelaki dan 122 wanita telah menjalani latihan asas selama 24 minggu bermula 21 April.
Latihan tersebut meliputi komponen ketenteraan, akademik dan praktikal bagi membentuk sahsiah serta disiplin anggota udara.
Muhamad Norazlan menyatakan kebanggaannya terhadap peningkatan penyertaan bukan bumiputera dalam siri kali ini yang berjumlah 11 orang.
Beliau berkata angka ini menggambarkan keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.
“TUDM menilai warganya berdasarkan merit, keupayaan dan komitmen, bukan bangsa atau warna kulit,” katanya.
Beliau menekankan bahawa warga udara perlu menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan dan automasi.
Penguasaan teknologi ini penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan TUDM untuk masa hadapan. – Bernama