KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Luxembourg Xavier Bettel di Seri Perdana, Putrajaya.
Pertemuan tersebut membincangkan usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Luxembourg.
Anwar menyatakan tekad kedua-dua negara untuk terus memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, kewangan dan logistik.
Mereka turut membincangkan peningkatan kerjasama melalui rangka Kesatuan Eropah untuk manfaat bersama.
Pertemuan itu juga menjadi medan pertukaran pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.
Perbincangan turut menyentuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta situasi di Timur Tengah khususnya isu Palestin.
Kunjungan Bettel ke Malaysia merupakan lawatan sulung beliau sejak dilantik ke jawatan tersebut pada tahun 2023. – Bernama