KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin ASEAN berada di ambang pembaharuan dan transformasi yang dipacu oleh visi kemajuan bersama, kemakmuran, dan keadilan.
Beliau berkata ASEAN tidak lagi sekadar menjadi pemerhati dalam hal ehwal global, sebaliknya berperanan sebagai satu kuasa dinamik dan berpengaruh yang memacu perubahan positif.
“Saya sangat bersetuju dengan Perdana Menteri Chính, beliau menggambarkan ASEAN sebagai sebuah rantau yang mempunyai ‘tenaga luar biasa’,” katanya dalam ucaptama di Forum Masa Depan ASEAN kedua hari ini.
Forum yang bertemakan “Building a United, Inclusive, and Resilient ASEAN Amidst Global Transformation” itu dianjurkan oleh Kementerian Luar Vietnam.
Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Pham Minh Chinh di Hanoi. Ini adalah lawatan kerja pertama beliau ke Vietnam sejak Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Akademi Diplomatik Vietnam kerana menganjurkan siri kedua Forum Masa Depan ASEAN yang dianggap relevan dan penting bagi menghimpunkan pemimpin hebat di rantau ini untuk berkongsi pandangan.
“Kisah kejayaan Vietnam adalah luar biasa, menunjukkan bahawa kemiskinan sesebuah negara bukan halangan untuk mencipta kekayaan dan mencapai pertumbuhan ekonomi dengan dasar tepat, tadbir urus yang kukuh serta langkah antirasuah bagi memajukan ekonomi moden yang progresif.
“Tapi kini kita berada di titik perubahan geopolitik, dengan pelbagai gangguan global telah kita alami dalam dekad terakhir norma baharu, menonjolkan kerapuhan orde global dan struktur sedia ada yang menyokong. Oleh itu, forum seperti ini bukan sahaja relevan, tetapi sangat penting,” katanya.
Perdana Menteri tiba di Hanoi malam tadi dan sejurus tiba, Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam di ibu pejabat parti berkenaan di sini dan Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta.
Anwar dijadualkan berlepas pulang hari ini selepas menghadiri forum.