• 2025-06-23 05:42 PM

KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menggantung Lesen Pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam milik Star Mart Ekspress Sdn Bhd selama 30 hari bermula 3 Julai ini susulan video tular pemanduan berbahaya pemandu bas ekspres syarikat itu pada 12 Jun lepas.

Menurut kenyataan APAD, permit kenderaan bas ekspres dengan nombor pendaftaran ALA 6666 itu juga dibatalkan berkuat kuasa 7 Ogos 2025.

Tindakan itu dilakukan selepas hasil siasatan mendapati syarikat Star Mart Ekspress Sdn Bhd gagal mematuhi Seksyen 22(1)(b)(iii), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) berhubung kelakuan pemandu dan konduktor kenderaan perkhidmatan awam.

“Kesalahan lain termasuk melibatkan Seksyen 23(1)(b), iaitu kegagalan pengendali berlesen dan pekerjanya memberikan keutamaan tertinggi kepada keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya.

“Selain itu melibatkan Perkara 7, Syarat Am Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP), iaitu pengendali berlesen bertanggungjawab memastikan pekerja dan pemandu menjaga tingkah laku semasa beroperasi,“ menurut kenyataan itu.

Sepanjang tempoh penggantungan itu, pihak pengendali tidak dibenarkan mengendalikan atau menyediakan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan di bawah Lesen Pengendali berkenaan.

Seksyen 27 Akta 715 memperuntukkan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen sekiranya berlaku pelanggaran terhadap mana-mana syarat Lesen Pengendali.

“Sebarang transaksi berkaitan lesen berkenaan tidak akan dipertimbangkan selagi tempoh penggantungan masih berkuat kuasa. Penamatan penggantungan hanya akan dilakukan selepas pengesahan bertulis diperoleh daripada APAD,“ menurut kenyataan itu.

APAD tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat atau pemegang lesen yang melanggar peraturan atau undang-undang.

Laporan berkaitan sebarang salah laku atau pelanggaran undang-undang oleh individu atau pemegang lesen perkhidmatan pengangkutan awam boleh disalurkan melalui talian aduan Kementerian Pengangkutan: 1-800-88-7723 atau menerusi WhatsApp: +6019-290 7723.

Pada 12 Jun lepas, tular di media sosial mengenai pemanduan seorang pemandu bas ekspres yang dikatakan memandu secara berbahaya dan laju di lorong sebelah kanan sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.