• 2025-09-05 10:09 AM

SHAH ALAM: Urusan pembelian barangan keperluan asas menerusi Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 diakui lebih lancar dengan menggunakan aplikasi MyKasih.

Pengguna boleh mengimbas dan menyemak barangan di pasar raya bagi memastikan ia tergolong dalam 14 kategori barangan keperluan asas yang disenaraikan kerajaan.

Roslita Saidin berkata semakan awal melalui aplikasi MyKasih membantu mengelakkan penolakan barangan tidak layak di kaunter dan mempercepatkan urusan pembayaran.

“Kita perlu buat semakan awal setiap barangan yang mahu dibeli kerana kalau tidak masa beratur akan jadi panjang dan mungkin pembelian kita itu ditolak,“ katanya.

Empat daripada lima ahli keluarganya layak menerima bantuan Penghargaan SARA sekali gus mengurangkan beban pembelian barangan keperluan asas.

Adilah Mohd Uzir berkata bantuan khas oleh kerajaan itu meringankan beban keluarganya dalam membeli keperluan asas lebih-lebih dengan kos hidup yang semakin meningkat.

Keluarga yang terdiri daripada enam penerima bantuan memilih untuk menggunakan kesemua RM600 itu sekali gus bagi melengkapkan keperluan asas isi rumah.

Mohd Zulfiqal Zainal menyarankan penerima bantuan agar merancang waktu pembelian bagi mengelakkan kesesakan, terutamanya selepas waktu pejabat.

Dia memilih waktu tengah hari untuk menebus bantuan tersebut kerana yakin ketika itu orang ramai sedang menikmati makan tengah hari.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru menebus bantuan Penghargaan SARA hingga perlu beratur panjang di kaunter bayaran.

Orang ramai mempunyai tempoh hingga 31 Disember ini untuk membelanjakan bantuan Penghargaan SARA RM100 sekali beri yang disalurkan Kerajaan MADANI.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan, kerajaan mengumumkan pemberian sekali beri sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas.

Inisiatif itu memberi memanfaat kepada 22 juta rakyat, melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion. – Bernama