ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan tiga nelayan yang dikhuatiri hilang sejak 26 Jan lepas.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata pihaknya menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah menerima aduan kehilangan sebuah vesel nelayan tempatan oleh pemilik vesel berkenaan pada 30 Jan.
“Vesel berkenaan yang dalam perjalanan balik ke Kuala Kurau, Perak membawa dua kru warga tempatan dan seorang kru warga Thailand dilaporkan hilang dan gagal dihubungi. Vesel itu dimaklumkan bertolak dari Jeti Kuala Kedah menuju ke Jeti Kuala Kurau pada 26 Jan kira-kira 11.30 malam.
“Bagaimanapun, hingga kini tekong dan kru tersebut gagal dihubungi. Operasi Carilamat telah diaktifkan sejurus menerima laporan dan meliputi kawasan pencarian sekitar 1,218.9 batu nautika persegi merangkumi perairan Kuala Kedah hingga ke Kuala Kurau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata misi pencarian itu melibatkan tiga aset di laut dan sebuah pesawat udara milik APMM selain dibantu oleh dua aset daripada Pasukan Polis Marin (PPM).
“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah dan Pejabat Zon Maritim Kuala Kurau sebagai pusat operasi.
“Komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menyalurkan maklumat segera kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan 999 atau talian operasi 24 jam MRSC Langkawi di 04-9662750,” katanya.