PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melaksanakan 851 kes tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan dari Januari hingga Julai tahun ini, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM84 juta.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata kes berkenaan antaranya melibatkan pencerobohan nelayan asing, penyeludupan manusia, rokok, minuman keras, barangan bersubsidi serta kesalahan perkapalan.
“Kes yang paling kerap (berlaku) sekarang ialah penyeludupan rokok, manusia dan dadah dari negara jiran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jiwa Merdeka Maritim Malaysia di sini hari ini.
Mengulas modus operandi baharu sindiket, Mohd Zawawi berkata terdapat kumpulan menggunakan dron untuk memantau kawasan sebelum melakukan penyeludupan.
“Semasa saya bertugas di utara Malaysia, pernah berlaku penyeludupan benih kerang, ketum atau dadah dan selalunya terdapat dron diterbangkan sindiket.
“(Bagaimanapun) hasil kerjasama dengan polis dan tentera di sempadan termasuk memohon bantuan penggunaan dron, kita dapat mengekang beberapa cubaan untuk masuk dari negara jiran,” katanya.
Selain itu, Mohd Zawawi berkata pengenalan aplikasi tertentu turut menjadi cabaran kepada APMM untuk melaksanakan operasi di lapangan.
Ditanya aset baharu APMM, beliau berkata beberapa aset seperti helikopter Augusta Westland AW189 dan kapal Ex-United States Coast Guard Cutter (Ex-USCGC) Steadfast dari Amerika Syarikat akan diperoleh bagi mempertingkatkan operasi pasukan.
“Kita akan menerima empat helikopter AW189 bersaiz sederhana dan berupaya melakukan operasi penerbangan serta operasi mencari dan menyelamat dengan jangkauan kawasan lebih luas. Ini akan memberi impak positif dalam pelaksanaan operasi APMM,” katanya.
Mengulas program Jiwa Merdeka, Mohd Zawawi berkata program menjadi wadah penting mempromosikan imej profesionalisme APMM sekali gus menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
“Konsep kali ini berbentuk karnival dan pameran yang menggabungkan elemen budaya, pendidikan, keselamatan dan patriotisme.
“Ia dapat mengeratkan hubungan dengan komuniti bandar selain menarik minat golongan belia terhadap kerjaya maritim,” katanya - BERNAMA