APMM tahan bot, tekong warga Laos ubah suai tangki simpanan minyak

MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot bersama seorang tekong warga Laos selepas dipercayai melakukan pengubahsuaian tangki minyak bot berkenaan secara tidak sah.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Suhaizan Saidin berkata lelaki berusia 46 tahun itu ditahan dalam Op Jaksa dan Op Tiris pada kedudukan 0.7 batu nautika timur Pulau Mertang di sini, kira-kira 2 petang semalam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan itu disyaki telah melakukan kesalahan dengan melanggar syarat sah lesen iaitu menambah ruangan dan mengubah suai tangki simpanan minyak bot.

“Susulan itu, bot serta kru ditahan sebelum dibawa ke jeti awam Mersing dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Suhaizan mengingatkan semua komuniti maritim terutama pemilik bot nelayan tempatan agar mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah ditetapkan.

Orang ramai boleh membuat aduan salah laku berkaitan jenayah maritim atau kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim negeri di talian 07-219 9404 atau MERS 999, katanya.