TAIPING: Arkib Negara Malaysia (ANM) giat menjejak dan memperoleh bahan arkib yang berada di luar negara bagi melindungi hak serta kepentingan negara.

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata langkah mendapatkan bahan arkib sangat mustahak bagi melengkapkan bahan bukti termasuk kajian serta penyelidikan mengenai persempadanan, mempertahankan hak kedaulatan serta pengesahan fakta sejarah negara.

“Bahan arkib berkaitan negara kita ada disimpan oleh kerajaan atau pengumpul persendirian di Rusia, Australia, Perancis, Itali dan Turkiye dan kita akan ke sana September depan untuk jalin kerjasama berkenaan bahan arkib.

“United Kingdom dan Belanda sudah tentu ada simpan bahan arkib sebab negara itu pernah jajah kita... tetapi Turkiye ini berbeza, mungkin dahulu zaman pemerintahan Melaka ada berhubung dengan Turkiye malah hasil semakan kita, memang ada sebut negara kita dalam lipatan sejarah negara mereka,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bicara Sejarah 150 Tahun Bandar Taiping dekat sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata usaha mendapatkan sesuatu bahan memerlukan peruntukan kewangan yang besar.

“Tahun ini kita turut tumpukan kerjasama dengan institusi arkib di UK namun bahan arkib dianggarkan bernilai RM1.82 juta dan hanya akan diperoleh secara digital sepenuhnya.

“Jika kita mahu lakukan sendiri kita perlu membiayai kos perjalanan, membeli bahan arkib termasuk melantik pakar rujuk, kos akan menjadi lebih tinggi hingga mencecah RM3 juta hingga RM4 juta selain mengambil masa yang panjang,“ katanya.

Selain itu Jaafar Sidek berkata aktiviti pendigitalan penting dalam usaha memulihara khazanah serta memberi ruang dan peluang untuk menyebarluaskan maklumat secara terus di hujung jari.

Sementara itu beliau berkata setakat Mei lepas, terdapat 132,489 bahan fail dan bukan fail berkenaan negeri Perak dengan 389 bahan daripadanya adalah mengenai Taiping tersimpan di ANM Perak yang boleh diakses dan dirujuk penyelidik dan orang awam.