Your Title

PUTRAJAYA: ASEAN 2025 merupakan platform terbaik untuk memastikan kempen mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026 berjalan rancak, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, akan memberi ruang dan peluang kepada negara anggota ASEAN untuk merasakan keharmonian, kepelbagaian budaya dan jenis makanan di negara ini.

“ASEAN 2025 memberi kita peluang untuk menonjolkan keharmonian, destinasi (negeri) dan makanan, supaya orang (ASEAN) dapat membantu kita membuat promosi (Malaysia) di negara masing-masing,“ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Pada 11 Okt, Malaysia telah menerima tugas sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025 daripada Laos. Tema ASEAN tahun hadapan ialah ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Dalam pada itu, Tiong berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membuat persiapan merancakkan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026, selain usaha menaik taraf infrastruktur di seluruh negara.

“Mana-mana kita dapat membantu naik taraf (infrastruktur) memanglah kita akan bantu, paling mustahak negeri-negeri mesti bekerjasama untuk menaik taraf infrastruktur, walaupun kita masih berbincang lagi dengan Kementerian Ekonomi (mengenai) lebih peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur untuk semua negeri,“ katanya.

Malaysia telah menyasarkan lebih RM147 billion dengan kemasukan 35.6 juta pelancong pada Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tiong berkata ketibaan pelancong bagi tempoh Januari hingga November tahun ini ialah 34.2 juta orang, merangkumi 22.5 juta pelancong manakala 11.7 juta ialah pelawat dan prestasi itu telah melepasti tahap prapandemik.

Ditanya negara jiran seperti Thailand dan Indonesia lebih diminati pelancong, Tiong berkata semua pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bekerjasama untuk menaik taraf lokasi agar menjadi lebih menarik.

“Kita tengok di Thailand terutama Bangkok, mereka membuktikan (Thailand) friendly dan orang (pelancong) merasakan ini tempat yang baik selain tahap keselamatan. Thailand juga naik taraf, wujudkan food street and light up the streets untuk pelancong,“ katanya.

Justeru, Tiong berkata usaha mengubah suai lokasi di Malaysia perlu dirancakkan serta penglibatan semua pihak termasuk PBT untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026, sambil mengambil contoh di Petaling Street, Kuala Lumpur dengan beberapa kedai yang dibuka.

Ditanya desakan segelintir pihak yang memintanya meletak jawatan, Tiong berkata perkara itu adalah biasa memandangkan mustahil untuk dapat memuaskan hati semua pihak.

Sebaliknya, beliau berpendapat lebih baik jika pihak yang tidak berpuas hati itu, untuk memberikan cadangan dan maklumat yang bermanfaat agar transformasi negara dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.