KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN perlu memperkukuh respons terhadap pelepasan tanpa sengaja bahan kimia berbahaya selaras dengan Pelan Tindakan Komuniti bagi Keselamatan Politik ASEAN 2025. Pelan ini menekankan usaha mengurang dan menghentikan penyebaran senjata pemusnah besar-besaran.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata Malaysia komited memperkasakan rantau ini melalui perkongsian ilmu dan pembangunan kemahiran, terutama dalam kesiapsiagaan dan respons terhadap insiden bahan kimia berbahaya.
“Bagi menjayakan komitmen ini, Malaysia terus bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa melalui kerjasama serantau dan subserantau. Inisiatif utama ialah Program Kesiapsiagaan Insiden Kimia di Hospital (HOSPREP) 2025 yang berlangsung dari 18 hingga 24 Jun,“ katanya pada majlis penutup program itu di sini hari ini.
Program HOSPREP 2025 menyediakan sembilan modul latihan komprehensif untuk membantu peserta memahami sifat dan kesan senjata kimia, gejala akibat pendedahan, serta strategi rawatan yang sesuai.
Lukanisman berkata program ini melangkaui teori dengan memberi penekanan pada kemahiran amali, termasuk penggunaan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan prosedur perubatan kecemasan di lokasi dan hospital.
“Pendekatan bersepadu ini, yang merangkumi penjagaan di lokasi, kesiapsiagaan hospital dan dekontaminasi, telah meletakkan asas bagi respons efektif terhadap kecemasan kimia,“ katanya.
Program ini juga meningkatkan pemahaman mengenai Konvensyen Senjata Kimia (CWC) dan pelan perlindungan nasional Malaysia, sambil mempromosi kerjasama antarabangsa dalam kesiapsiagaan kecemasan.
HOSPREP 2025 dianjurkan bersama oleh Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Konvensyen Senjata Kimia (NACWC), Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan. Ia menghimpunkan profesional kesihatan dari pelbagai negara untuk latihan amali mengenai respons insiden kimia.
“Industri kimia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi serantau yang dianggarkan bernilai USD1.5 trilion pada 2022. Malaysia bangga menerajui inisiatif ini bersama negara membangun lain selama tiga tahun berturut-turut,“ kata Lukanisman.
Beliau turut mengiktiraf peranan Kementerian Luar dan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), yang telah melatih lebih 38,000 peserta dari 144 negara sejak 25 tahun lalu.
“MTCP akan memasukkan isu global seperti kecerdasan buatan, ekonomi digital dan pembiayaan iklim bagi memastikan Selatan Global terus terlibat dalam kemajuan dunia,“ tambahnya.