KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru negara-negara ASEAN menyokong penuh Visi Komuniti ASEAN 2045 bagi menangani cabaran ketidaktentuan global yang semakin kompleks. Beliau menegaskan hanya perancangan strategik jangka panjang mampu menjamin kestabilan dan kemajuan rantau ini.
Dalam ucapannya di sesi pleno Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, Mohamad menekankan masa depan ASEAN bergantung pada keazaman kolektif ahli-ahlinya. “Kita mesti melakar hala tuju sendiri. Masa depan kita tidak ditentukan kuasa luar, tetapi oleh tindakan bersama kita,“ katanya.
Beliau turut menggesa peralihan lancar dari pelan ASEAN 2025 kepada Visi 2045, dengan semua badan sektoral menyelaraskan agenda masing-masing. “ASEAN perlu menjadi suara utama dalam hal ehwal antarabangsa, bukan membenarkan pihak lain bercakap bagi pihak kita,“ tegasnya.
Mengenai isu geopolitik, Mohamad mengutuk keras tindakan ketenteraan Israel terhadap Iran dan krisis kemanusiaan di Gaza. “Kebuluran strategik dan keganasan Israel terus berleluasa tanpa kawalan. Malaysia menentang segala bentuk kekejaman ini,“ katanya.
Dalam konteks serantau, beliau menyatakan komitmen ASEAN untuk menyokong penyelesaian damai di Myanmar. “Kelewatan mencapai keamanan hanya memanjangkan penderitaan rakyat Myanmar dan mengancam keselamatan ASEAN,“ tambahnya.
Mohamad menyeru perpaduan ASEAN diperkukuh melalui dialog dan diplomasi. “Kita mesti kekal sebagai platform kerjasama dan kemakmuran, terutama ketika multilateralisme menghadapi cabaran,“ ujarnya. - BERNAMA