• 2025-07-11 02:49 PM

TANGKAK: Seorang usahawan produk kesihatan mengalami kerugian besar sebanyak RM84,000 selepas terperangkap dalam skim pelaburan kripto palsu. Wanita berusia 52 tahun itu diperdaya oleh suspek yang dikenali melalui TikTok pada Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Roslan Mohd Talib, berkata mangsa telah ditawarkan pelaburan kripto melalui laman web ‘Aleosgm.Top’ dengan janji keuntungan berlipat ganda dalam masa singkat. Mangsa kemudiannya membuat 17 transaksi ke dalam lima akaun berbeza yang disyaki sebagai akaun keldai.

“Transaksi dilakukan dari 29 Mei hingga 7 Julai dengan jumlah kerugian mencecah RM84,000. Mangsa membuat laporan polis semalam, dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,“ jelas Roslan.

Beliau mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.