• 2025-09-10 07:21 PM

HONG KONG: ASEAN menawarkan peluang yang luas untuk pelaburan berimpak tinggi berikutan peneraju dalam sektor perniagaan dan kerajaan cenderung ke arah integrasi serantau yang lebih baik.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menyatakan tahun lepas rantau ini telah menyaksikan minat yang amat tinggi bukan sahaja dalam perdagangan malah terhadap pelaburan dan kerjasama strategik.

Premium risiko yang meningkat di Barat disebabkan perubahan landskap geopolitik dan hubungan dagangan baharu menjadikan pasaran Asia Tenggara semakin menarik.

Sebahagian pasaran di rantau ini boleh menjadi platform permulaan yang selamat kerana mendepani cabaran yang sama dalam kalangan negara ASEAN lain tetapi mempunyai kestabilan dan sistem kewangan yang dapat mengurangkan risiko dalam inovasi.

Abdul Rasheed berkata Malaysia merupakan salah satu platform permulaan yang selamat dalam rantau ASEAN semasa berucap pada AVPN Global Conference 2025.

AVPN merupakan rangkaian pelabur sosial dan berimpak terbesar di Asia yang menyasarkan untuk memacu modal ke arah pelaburan berimpak tinggi untuk perubahan sosial.

ASEAN memainkan peranan utama dalam pertumbuhan ekonomi Asia berikutan ia menjadi sumber pertumbuhan yang stabil dalam dunia yang semakin tidak menentu dan multipolar.

ASEAN menjadi ekonomi kelima terbesar dunia dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar lebih US$3.9 trilion dan dijangka melebihi US$5 trilion sebelum 2030.

Ini menjadikan ASEAN berada di kedudukan selepas Amerika Syarikat, China dan Jerman menjelang akhir dekad ini.

Menyokong momentum ini ialah populasi yang meningkat sebanyak 670 juta orang dengan umur median 30 tahun.

ASEAN dijangka menambah lebih 130 juta pengguna kelas pertengahan dalam tempoh terdekat.

ASEAN telah menunjukkan daya tahan dalam pertumbuhannya dengan KDNK berkembang pada purata 4.8% sepanjang dua dekad yang lepas walaupun menghadapi krisis kewangan, pandemik dan perubahan dalam orde dunia.

Daya tahan inilah yang menjadikan ASEAN berada di tengah-tengah rantaian bekalan global daripada komoditi pertanian kepada semikonduktor serta sumber semula jadi kepada bidang baharu dalam bateri.

Asia menyumbang lebih 60% daripada pertumbuhan global dengan perdagangan antara Asia kini melebihi perdagangan antara Asia dan seluruh dunia.

Perdagangan antara Asia dijangka meningkat sebanyak US$400 bilion setahun dalam tempoh beberapa tahun akan datang. – Bernama