BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan telah melengkapkan audit keselamatan di lebih 700 sekolah di seluruh negara setakat ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan laporan audit berkenaan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.
Beliau menekankan kepentingan pengauditan ini selaras dengan komitmen kementerian terhadap kesejahteraan pelajar secara menyeluruh.
“Audit ini akan memberi kita beberapa pendekatan dan tumpuan penuh perkara yang perlu kita baiki dari semasa ke semasa,” katanya selepas merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman, Penanti.
Fadhlina berkata kementerian telah mengemukakan cadangan berkaitan dalam pembentangan Belanjawan 2026 di bawah Kerangka Safe School.
“Kita minta untuk dipertimbangkan antara lain ialah penambahan waran guru kaunseling secara besar-besaran dan program sokongan kesihatan mental di sekolah.”
Kementerian sebelum ini mengarahkan Ketua Jemaah Nazir mengerah semua anggotanya menjalankan audit keselamatan sekolah dengan laporan mingguan.
Mengenai insiden murid lelaki tahun empat meninggal dunia di tandas sekolah di Seremban, Fadhlina berkata kementerian masih menunggu hasil siasatan polis.
“Siasatan masih lagi dijalankan dan kita telah memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis.”
Murid berusia 10 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan oleh tekanan pada leher. – Bernama