JERTIH: “Ayah sangat gembira apabila adik dapat tawaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sehingga dia tumbangkan (sembelih) seekor kambing pada hujung tahun 2023,” kata Nur Ainul Afiqah Mat Ali, kakak kepada seorang daripada mangsa kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), yang meragut 15 nyawa awal pagi tadi.

Nur Ainul Afiqah, 22, berkata adiknya Allahyarham Nur Ainul Qistina, 21, tidak mempunyai prestasi akademik yang baik sejak kecil, namun berjaya mencatat keputusan cemerlang pada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sekali gus diterima melanjutkan pelajaran ke UPSI.

Dia berkata kejayaan arwah itu menyebabkan ibu bapanya Mat Ali Mat Amin dan Rohmah Jusoh, masing-masing berusia 56 tahun berasa sangat gembira sehingga menyembelih seekor kambing untuk disedekahkan kepada penduduk kampung.

“Arwah memang nak jadi cikgu sejak kecil. Masa dapat tawaran ke UPSI, dia sangat gembira sampai melompat-lompat dan menuntut janji ayah untuk ‘tumbangkan’ seekor kambing,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Anak Ikan di sini hari ini.

Nur Ainul Afiqah juga tidak menyangka kunjungan ke Pantai Benting Lintang di sini petang semalam, bersama arwah dan adik bongsu Nur Ainul Afni Aqilah, 13, adalah kenangan terakhir mereka bersama.

“Arwah memang suka pantai. Petang semalam dia ajak saya ke pantai kerana arwah teringin hendak makan tepi pantai sebelum balik ke UPSI.

“Semasa kami bersiar-siar, tiba-tiba angin sangat kuat dan saya risau ribut. Jadi, saya pun ajak adik-adik balik kerana saya takut untuk memandu semasa ribut, tetapi arwah enggan pulang kerana katanya belum puas melihat pantai. Namun setelah dipujuk arwah ikut juga nasihat saya,” katanya sambil menitiskan air mata.

Nur Ainul Afiqah berkata ayahnya mengetahui kejadian menimpa Nur Ainul Qistina yang juga anak keempat daripada tujuh beradik itu daripada seorang rakan sekitar pukul 4 pagi, sebelum keluarganya bergegas ke Perak.

Sementara itu, pasangan orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Alor Keladi, Hulu Besut di sini bersyukur apabila anak lelaki mereka Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan, 21, terselamat meskipun mengalami kecederaan pada anggota badan.

Bagaimanapun, Tuan Adnan Nik Him, 60, tidak dapat ke Perak untuk melihat sendiri keadaan anak bongsu daripada tiga beradik itu kerana dia sendiri lumpuh dari paras pinggang, manakala isterinya Zunidah Ibrahim, 51, mempunyai masalah pertuturan dan menghidap penyakit buah pinggang.

“Saya hanya menunggu perkhabaran daripada adik saya yang bergegas ke sana sebaik mengetahui kejadian awal pagi tadi tetapi tidak tahu nasib anak saya sehinggalah pukul 9 pagi tadi apabila dimaklumkan dan disahkan dia terselamat,” kata Tuan Adnan yang bekerja sebagai tukang urut sambilan.

Dalam kemalangan yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut selepas bas sewa khas dinaiki mereka dari Jertih ke Tanjung Malim, Perak terbalik setelah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di JRTB, berhampiran Tasik Banding, Perak.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.

Sementara itu, Yusmaimi Yusof, ibu kepada seorang mangsa yang maut Fakrul Arif Rosdi berkata keluarganya sempat bergambar beramai-ramai sebelum pelajar itu menaiki bas berkenaan.

“Malam tadi adalah pertemuan dan kenangan terakhir saya dengan anak sebelum dia naik bas untuk pulang ke UPSI,” kata wanita berusia 51 tahun itu.

Yusmaimi berkata dia bersama beberapa ahli keluarga menghantar Fakrul Arif untuk menaiki bas berhampiran Masjid Hadhari di sini pada 9 malam tadi.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma malam tadi dia mengadu demam. Selepas bergambar, saya suruh dia segera naik berehat di dalam bas dan kami pulang awal meninggalkannya sebelum bas bergerak.

“Arwah duduk di kerusi paling belakang sebelah kiri bas iaitu bahagian sebelah bas yang terbalik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Yusmaimi berkata dia mengetahui mengenai kemalangan itu kira-kira 4.15 pagi tadi dan hanya mengetahui anak keempat dari lima beradik itu meninggal dunia pada pukul 6 pagi ini sebelum dia dan suami bergegas ke Gerik.