KUALA LUMPUR: Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan mencuri kereta, hari ini sekali lagi dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merempuh dan melanggar motosikal dua anggota polis ketika memandu kereta curi berkenaan, bulan lepas.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Soon Heng, 45, yang memakai baju penjara berwarna merah selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 23 Sept lepas.
Tertuduh didakwa memandu sebuah kereta dan merempuh serta melanggar dua buah motosikal ditunggang dua anggota polis terbabit, masing-masing berumur 36 dan 28 tahun di lampu isyarat, Jalan Segambut di sini pada 12.50 tengah hari, 23 Sept lepas.
Pendakwaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, semasa kejadian tertuduh ditahan dua anggota polis tersebut yang masing-masing menunggang motosikal sebelum tertuduh merempuh mereka untuk melarikan diri.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan itu serius selain tertuduh memandu menggunakan kereta curi.
“Tertuduh sedang menjalani hukuman penjara setahun atas kesalahan memandu kereta curi. Oleh itu, pohon hukuman sewajarnya diberikan kepada tertuduh,“ katanya.
Peguam Simret Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Lee memohon hukuman penjara minimum bermula dari tarikh tangkap atas alasan anak guamnya telah insaf selain datang dari keluarga kurang berkemampuan.
“Anak guam saya memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahan yang dilakukan. Dia juga mempunyai seorang kekasih dan anak berusia lapan tahun serta masih belum berkahwin.
“Oleh itu, mohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara minimum ke atas anak guam saya,” katanya.