SHAH ALAM: Sebanyak 113 individu dari enam kampung di Hulu Bernam, Hulu Selangor dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan banjir (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata terdahulu, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian melibatkan Kampung Sungai Selisik, kira-kira 5.50 petang.

Beliau berkata susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Baharu digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sampai di lokasi, komander operasi mendapati kejadian banjir itu membabitkan enam kampung iaitu Kampung Sungai Selisik, Kampung Serigala, Kampung Sungai Nilam, Kampung Sekolah, Kampung Masjid dan Kampung Paya Lebar.

“Ketika kejadian, paras kedalaman air adalah setinggi 0.3 meter dan trend air dalam keadaan menurun. PPS telah dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah dengan menempatkan 113 mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ahmad Mukhlis berkata operasi pemindahan turut membabitkan pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Bomba Sukarela, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.