• 2025-10-04 02:19 PM

JUBA: Hujan lebat telah mencetuskan banjir besar di Selatan Sudan yang meragut 19 nyawa dan menjejaskan kira-kira 639,225 orang di 26 daerah melibatkan enam negeri.

Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan memaklumkan hampir 175,000 orang kini hilang tempat tinggal dan terpaksa berpindah ke kawasan tanah tinggi di 16 daerah.

Risiko kesihatan semakin meningkat dengan bertambahnya kes malaria, jangkitan pernafasan dan cirit-birit menurut OCHA dalam laporan kemanusiaan terbarunya.

Agensi itu turut melaporkan sekurang-kurangnya 121 kemudahan kesihatan terjejas akibat bencana banjir tersebut.

Seramai 144 kes patukan ular dan 3,391 kes kekurangan zat makanan telah direkodkan di 11 daerah yang terjejas.

Laporan itu dikeluarkan sehari selepas badan amal antarabangsa Save the Children memberi amaran tentang ancaman banjir tahun ini.

Badan amal itu menganggarkan 1.4 juta penduduk di Selatan Sudan berdepan ancaman banjir dengan taburan hujan dijangka melebihi paras purata.

Masyarakat sudah kehilangan tanah pertanian, sumber pendapatan, rumah serta akses kepada sekolah dan kemudahan kesihatan akibat bencana ini.

Seramai 379,000 orang telah dipaksa berpindah akibat kenaikan paras air yang berterusan di kawasan terjejas. – Bernama-Xinhua