Your Title

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Johor dan Pahang semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri tersebut terus mencatatkan penurunan pada petang ini manakala di Perak masih tidak menunjukkan perubahan.

Di Johor,jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 36 orang daripada 11 keluarga berbanding 40 orang pada pagi tadi dengan kesemua mangsa kini berlindung di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak di daerah Segamat yang dibuka sejak 29 Nov lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam satu kenyataan berkata mangsa yang berasal dari Kampung Seberang Batu Badak masih belum dibenarkan pulang kerana kawasan petempatan mereka masih digenangi banjir termenung.

Selain itu, beliau turut memaklumkan hanya satu sungai di daerah Segamat dilaporkan melepasi paras amaran iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 8.82 meter (m) (trend menurun) manakala keadaan cuaca di sembilan daerah di negeri ini diramalkan cerah kecuali di Mersing yang dijangka mengalami hujan petang ini.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di Pahang menurun kepada 31 orang daripada 11 keluarga berbanding 41 orang pada pagi tadi, melibatkan dua daerah yang masih terjejas iaitu Bera dan Maran.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 27 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gemuruh di daerah Bera manakala empat mangsa berada di PPS Balairaya Kampung Baru Pertanian di daerah Maran.

Di Perak, Sekretariat JPBN negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal seramai 186 orang daripada 57 keluarga di daerah Manjung dan kesemua mangsa masih ditempatkan di PPS SK Beruas.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataannya memaklumkan paras air Sungai Rui di Hulu Perak berada pada paras amaran dengan bacaan 165.68m berbanding paras normal 165.10m manakala Sungai Perak di kawasan Pasang Api, Bagan Datuk merekodkan paras berjaga-jaga dengan kedalaman 1.85m berbanding paras normal -1.0m.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan berterusan pada tahap waspada dijangka berlaku di sekitar kawasan Hulu Perak.