KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan untuk tindakan susulan pascabanjir yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.
Beliau berkata berdasarkan laporan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, terdapat beberapa kawasan banjir yang sudah mulai surut.
“Ini (tindakan susulan) satu hal yang patut kita siap, bila surut tentunya ada tangungjawab memulihkan, sebab itu kita juga sediakan peruntukan tambahan untuk baiki sekolah-sekolah, pusat pemindahan sementara (PPS), kemudahan kebersihan tandas dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Disember tahun 2024, di sini hari ini.
Turut hadir Ahmad Zahid dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Semalam, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan segera untuk disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu masing-masing RM25 juta, bagi membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung, termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut, Terengganu.
Sekali lagi menyifatkan persiapan menghadapi banjir semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan negeri luar biasa kali ini, Anwar berkata tindakan susulan pascabanjir juga perlu turut meliputi semua kawasan terkesan seluruh negara.
“TPM (Ahmad Zahid) melaporkan tadi ada beberapa keadaan (kawasan) yang surut sedikit, tetapi sekarang ia melabuh ke Pahang dan Johor, jadi maknanya kesiapsiagaan itu ke seluruh negara.
“Tetapi eloklah saya tegaskan tentang khidmat seluruh jentera kabinet turut turun, setiap menteri turun, pegawai khidmat awam, jentera itu luar biasa. Saya lihat pegawai APM, kesihatan dan semua di Setiu yang kita lawati, nampak semua matanya bengkak, tak cukup tidur...ini cerita-cerita kebaikan yang kadang-kadang tak dihebahkan,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata secara keseluruhan 82,000 anggota pelbagai agensi dikerahkan ke lokasi banjir seluruh negara, selain penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan sukarelawan individu yang turut turun membantu.
“Saya lihat lori-lori membawa makanan dari Pulau Pinang. Kebetulan saya jumpa seorang individu dari Bukit Mertajam. Dia bukan NGO, tetapi menguruskan 10 lori makanan untuk dihantar ke Kelantan dan memaklumkan kepada ATM (Angkatan Tentera Malaysia) bagi membantu menyelaraskan.
“Ini kekuatan rakyat Malaysia. Kebetulan individu dari Pulau Pinang itu berbangsa Cina. Dia memikirkan ini adalah masalah bersama. Hal-hal seperti ini harus kita hebahkan untuk menunjukkan semangat menyelamatkan nyawa dan membantu sesama kita,” kata beliau.