JITRA: Seorang anak hanya mampu melihat bapanya tenggelam selepas lelaki itu dihanyutkan arus ketika memukat ikan di Sungai Kampung Paya Parit Lateh dekat sini, semalam.

Muhammad Khairul Ikhwan Ismail, 20, berkata dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan Ismail Hashim, 49, kerana tidak tahu berenang, malah kejadian kira-kira 7.15 malam itu berlaku dengan pantas.

Ketika kejadian, katanya ibunya, Siti Nor Sanisah Ishak, 46, serta dua adiknya iaitu Muhammad Khairul Irfan, 15, dan Siti Nur Asyyifa, 8, turut berada berhampiran lokasi kejadian.

“Rumah kami terletak kira-kira 500 meter dari sungai. Kami datang hampir 7 malam dan biasanya, ayah akan menyeberangi jambatan dekat sungai ini untuk merentangkan pukat.

“Semalam, dia ambil tali dan ikat di pinggang, kemudian berenang ke seberang. Selepas itu saya nampak ayah tenggelam agak lama sebelum timbul dan tenggelam semula tiga kali sebelum ayah hilang dari pandangan,“ katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Muhammad Khairul Ikhwan berkata dia cuba menarik tali yang mengikat badan bapanya, namun terasa ringan dan dipercayai telah terungkai.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Ismail diteruskan 8 pagi tadi diketuai Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim.

Ahmad Aminuddin berkata operasi melibatkan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra serta BBP Sungai Petani selain Pasukan Gerak Cepat (PGC) daripada Akademi Bomba dan Penyelamat (ABPM) Wilayah Utara dengan kekuatan 30 anggota.

“Operasi turut disertai dua anjing pengesan Unit K9 JBPM. Pencarian hari ini meliputi radius satu hingga dua kilometer di sepanjang Sungai Kampung Paya Parit Lateh, bermula dari tempat terakhir mangsa dilihat,“ katanya.