JOHOR BAHRU: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah ini sejak malam tadi akibat banjir kilat, ditutup petang ini selepas air surut sepenuhnya di kawasan terjejas.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara di sini yang menempatkan 17 mangsa daripada tiga keluarga dari Kampung Paya Kenangan, ditutup pada 2 petang tadi.
Menurut JPBD kesemua mangsa dipindahkah ke PPS yang dibuka pada 10.30 malam itu, berikutan rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat selama lebih dua jam mulai 7 malam semalam.
Sementara itu, JPBD memaklumkan paras air di tiga lembangan sungai di daerah ini, berada di paras waspada iaitu Sungai Skudai, Kampung Laut menunjukkan bacaan 2.31 m; Sungai Skudai, Kampung Pasir (0.28 m) dan Sungai Tebrau (1.83 m).
Menurut JPBD, cuaca di Johor Bahru, Mersing, Kota Tinggi dan Kulai dilaporkan mendung, manakala enam daerah lain cerah setakat ini. - Bernama