Your Title

HANOI: Barisan panjang pembeli emas tidak lagi kelihatan di hadapan pejabat bank selepas empat bank komersial milik kerajaan memulakan pendaftaran pembelian emas dalam talian, lapor Xinhua yang memetik Agensi Berita Vietnam pada Isnin.

Hanya beberapa orang yang datang ke cawangan bank berkenaan untuk membeli emas pada pagi Isnin, tetapi mereka diarahkan oleh kakitangan bank untuk mendaftar dalam talian, menurut laporan itu.

Mulai Isnin, Bank Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam (Agribank), Bank Komersial Saham Bersama untuk Pelaburan dan Pembangunan Vietnam (BIDV), dan Bank Komersial Saham Bersama untuk Perindustrian dan Perdagangan Vietnam (VietinBank) membenarkan pendaftaran pembelian emas berjenama Saigon Jewelry Company Limited (SJC) di laman sesawang mereka.

Bank Komersial Saham Bersama untuk Perdagangan Asing Vietnam (Vietcombank) telah menggunakan kaedah ini sejak 12 Jun.

Sebelum ini, keempat-empat bank dan SJC diberi kuasa untuk membeli jongkong emas SJC daripada Bank Negara Vietnam dan menjualnya kepada orang awam untuk menggalakkan kestabilan pasaran dan memastikan pasaran emas yang seimbang.

Harga jualan langsung jongkong emas SJC oleh bank pusat pada Isnin ialah 75.98 juta dong Vietnam (US$2,989) per tahil.

Harga emas SJC di pasaran kekal stabil pada 76.98 juta dong (US$3,025) selama lebih seminggu.