• 2025-09-18 05:34 PM

KOTA KINABALU: Bank Rakyat menyerahkan zakat keuntungan berjumlah lebih RM1.7 juta kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) semasa kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.

Kunjungan itu diketuai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff.

Mereka disertai oleh pegawai kanan Bank Rakyat dan wakil MUIS semasa majlis penyerahan zakat tersebut.

Ewon berkata sumbangan zakat itu meningkat berbanding RM1.3 juta pada tahun sebelumnya.

Beliau yakin sumbangan itu akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang seiring dengan pelbagai perancangan Bank Rakyat di Sabah.

“Pada masa sama, saya mengajak rakyat Sabah menggunakan perkhidmatan Bank Rakyat kerana sebahagian keuntungannya dikembalikan semula kepada masyarakat dalam bentuk zakat dan bantuan lain,” katanya.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Musa atas sokongan terhadap pelaksanaan program Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensi di bawahnya.

Katanya Bank Rakyat memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi melalui usahawan dan koperasi di negara ini.

Bank Rakyat merupakan agensi pembiayaan keusahawanan dan peribadi di bawah kementerian tersebut. – Bernama