• 2025-06-20 10:56 AM

KUALA LUMPUR: Sejak diwajibkan pemakaian batik dalam kalangan penjawat awam pada 2023, gelombang kraf tekstil itu dilihat semakin bangkit menambat hati pelbagai generasi.

Di sebalik kerancakannya yang menjadi aspirasi kerajaan dalam mengukuhkan kesenian itu sebagai warisan kelangsungan budaya negara, realitinya, sokongan terhadap batik tempatan masih belum lagi mengakar utuh dalam sanubari masyarakat.

Selepas hampir tiga tahun pelaksanaannya pada penjawat awam setiap Khamis sehingga turut mencuri perhatian sektor lain untuk turut serta meraikannya, pensyarah fesyen Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman Shabri Saad berkata batik negara jiran lebih menjadi pilihan pengguna berbanding batik tempatan.

“Batik bukan sekadar corak. Ia adalah seni, umpama lukisan yang boleh dipakai, saya hargai semua jenis batik, tidak kira dari Malaysia, Indonesia, India, China sampai ke Kemboja. Tapi sebagai rakyat Malaysia, kita tetap perlu junjung seni dari tanah sendiri.

“Kalau kita tak bantu pengusaha batik tempatan, takut satu hari nanti seni ini hanya tinggal dalam muzium,” katanya yang menyifatkan kecederungan masyarakat memilih batik negara jiran adalah disebabkan kekeliruan kerana kurang pendedahan berkaitan teknik, motif dan nilai sebenar batik sebagai produk budaya.

Shabri yang lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia batik berkata seni warisan tekstil Malaysia itu tidak kiralah sentuhannya sama ada dari Kelantan, Terengganu, Kedah mahupun Melaka, hakikatnya mempunyai keistimewaan tersendiri yang harus kekal dipelihara.

Kerana itu, beliau berpandangan pembangunan semula sokongan terhadap batik tempatan tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada kerajaan menerusi peranan digemblengkan Kraftangan Malaysia, akan tetapi juga memerlukan rangkaian bersama semua pihak termasuklah NGO, penggiat seni dan pengguna.

Dalam aspek ini, pemegang Sarjana Teknologi Rekaan melihat akan keperluan batik tempatan untuk berevolusi dari segi rekaan yang tidak terlalu padat dan sarat dengan kepelbagaian warna memandangkan generasi hari ini cenderung kepada gaya ringkas, moden dan kontemporari.

“Orang muda nak pakai batik yang ‘stylo’, bukan yang nampak macam ‘pak cik-pak cik’. Rekaan batik yang baik adalah yang mampu membuatkan si pemakai tampak lebih segar dan bergaya tanpa menjejaskan elemen budaya asal,” katanya.

Pemilhan warna yang lebih sofistikated dan selari dengan trend antarabangsa misalnya, seperti rona yang ‘toned down’, lebih ‘earthy’ atau pastel adalah warna yang disifatkannya sesuai untuk diterokai pengusaha kraf itu dalam menonjolkan batik Malaysia ke peringkat global.

Menyentuh mengenai harga pula, beliau berkata batik cetak tidak perlu ditolak sepenuhnya kerana ia boleh menjadi titik mula untuk masyarakat mengenal dan menghargai rekaan serta identiti batik tempatan memandangkan harganya yang lebih mampu milik berbanding batik lukis.

“Kalau semua yang murah kita ‘sekat’, lama-lama yang asli pun tak ada permintaan. Dengan pemahaman yang lebih baik, minat terhadap batik sebenar akan berkembang secara semula jadi.” katanya.

Sementara itu, penjawat awam Debby Lucas, 37, berpendapat batik bukan sekadar warisan budaya yang penuh makna tetapi juga hasil kerja tangan yang memerlukan kesabaran, ketelitian dan kreativiti tinggi.

“Setiap corak bawa cerita tentang alam, kehidupan dan identiti masyarakat. Kalau dulu batik hanya dipakai ke majlis rasmi, sekarang sudah jadi fesyen moden dan boleh digayakan ke pejabat atau dijadikan ‘statement piece’ atas pentas antarabangsa,” katanya yang memuji usaha beberapa pengusaha fesyen batik yang menawarkan rekaan baju siap sesuai cita rasa orang muda.

Faizah Ibrahim, 28, pula tidak melihat harga sebagai halangan besar kerana baginya masih terdapat batik yang ditawarkan pada harga berpatutan selain turut memenuhi citra rasanya, antaranya yang pernah dibeli dari galeri Jabatan Penjara Malaysia.

“Saya suka beli batik yang guna teknik ‘dye’, sebab selesa, unik dan istimewa kerana corak tu tak sama dengan orang lain. Saya juga lebih suka tempah baju berbanding ‘fast fashion’ kerana nampak lebih kemas, tahan lama, dan mesra alam,” katanya.