PUTRAJAYA: Seramai 8.8 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima bayaran Fasa 4 STR 2025 bermula esok sebelum perayaan Deepavali.
Bayaran ini lebih awal berbanding jadual asal pada pertengahan November menurut kenyataan Kementerian Kewangan hari ini.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi fasa ini dengan kadar bayaran sehingga RM700 mengikut kategori.
Jumlah ini turut merangkumi 200,000 pemohon baharu yang telah diluluskan bagi bayaran Fasa 4 STR.
Penyaluran untuk pemohon baharu dijadualkan bermula pada 13 November ini.
Berbanding Fasa 1 pada Januari 2025, jumlah penerima Fasa 4 meningkat sebanyak 500,000 individu dan isi rumah.
Peningkatan ini susulan keputusan Kerajaan MADANI untuk membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun.
Kerajaan MADANI akan terus membuka pendaftaran STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2026 sepanjang tahun.
Ini bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tekad Kerajaan MADANI untuk memastikan bantuan dapat dimanfaat oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.
Beliau mengharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali.
Ketika membentangkan Belanjawan MADANI Keempat pada 10 Oktober lepas, beliau berkata peruntukan keseluruhan STR dan SARA mencecah RM15 bilion bagi 2026.
Bagi penerima sedia ada, data mereka akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan.
Data ini akan digabungkan dengan data daripada agensi berkaitan untuk semakan kelayakan STR dan SARA 2026.
Pendekatan ini turut mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan terus sampai kepada golongan sasar.
Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Semakan status pembayaran dan kelulusan STR juga boleh dibuat melalui pautan sama. – Bernama