SIBU: Sinergi antara ibu bapa, guru, pelajar dan pihak berkuasa pendidikan perlu diperkukuh bagi membendung gejala buli di sekolah yang kini dianggap krisis nasional.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh berkata semua pihak perlu berganding bahu membentuk persekitaran pembelajaran bebas penindasan.
“Kes buli yang berlaku hari ini bukan sahaja meningkat dari segi bilangan, malah semakin serius dari sudut impak dan bentuk,“ katanya.
Beliau menyenaraikan bentuk buli termasuk keganasan fizikal, serangan seksual, buli siber serta insiden tragis yang menyebabkan kematian.
Wong berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Bersama Menentang Buli 2025 di Universiti Teknologi Sarawak.
Beliau menekankan dasar tegas, program pendidikan tambah nilai dan sokongan psikososial efektif perlu digerakkan secara kolektif.
Ini bagi melindungi mangsa serta membimbing pelaku supaya berubah ke arah positif.
Program itu dianjurkan bersama Majlis Tindakan Pengguna Negara, Pertubuhan Pemerkasaan Wanita Bersatu Sibu dan UTS.
Ia disertai pelajar daripada enam sekolah menengah serta tiga institusi pengajian tinggi di bandar ini.
Mereka menyertai pertandingan melukis poster bertemakan “Bersatu Menentang Buli”.
Wong berkata kebimbangan terhadap budaya buli semakin memuncak apabila ia berleluasa di alam maya.
“Ini susulan peningkatan penggunaan media sosial tanpa kawalan,“ katanya.
Beliau menegaskan penghinaan, pengasingan sosial dan buli siber mungkin tidak meninggalkan luka fizikal.
Namun kesannya terhadap kesihatan mental mangsa amat mendalam dan boleh berpanjangan hingga ke dewasa. – Bernama