• 2025-10-19 05:29 PM

JASIN: Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 mencatat antara jumlah kehadiran pengunjung paling ramai dalam sejarah penganjurannya di Politeknik Merlimau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penganjuran kali ini cukup istimewa dengan kerjasama Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai kementerian peneraju.

“Kali ini agak lebih istimewa kerana tarikan kemudahan dan kelengkapan pertahanan itu menyebabkan begitu ramai yang hadir — mungkin antara yang paling ramai dalam sejarah Program MADANI Rakyat,“ katanya ketika berucap pada majlis penutupan program itu.

Program selama tiga hari itu merekodkan kehadiran seramai 204,834 pengunjung setakat 11 pagi Ahad.

Anwar turut merakam penghargaan kepada Kerajaan Melaka yang bekerjasama menjayakan program tersebut.

Beliau menyifatkan program itu sebagai platform penting bagi kerajaan menyantuni rakyat serta memberi penjelasan terus berhubung dasar dan projek kerajaan.

“Tujuan kita mengadakan Program MADANI Rakyat ini antara lain adalah untuk menyantuni rakyat — supaya mereka tahu, faham dan dapat melihat sendiri pelaksanaan dasar serta projek yang diumumkan oleh kerajaan,“ katanya.

Pendekatan turun padang itu selaras dengan konsep Kerajaan MADANI yang menekankan ketelusan, kebertanggungjawaban dan komunikasi langsung dengan rakyat.

Sebelum itu, Anwar diperkenalkan dengan ‘Asuk’ iaitu robot anjing berteknologi kecerdasan buatan (AI) yang direka sebagai kenderaan darat tanpa pemandu berkaki empat.

Asuk dibangunkan dengan kerjasama Ghost Robotics dari Amerika Syarikat untuk menyokong aplikasi keselamatan, pertahanan dan industri.

Program bertemakan ‘Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara’ itu dianjurkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri.

Kerjasama strategik MINDEF dan Kerajaan Melaka sebagai penganjur bersama berjaya menarik kehadiran besar pengunjung melalui pameran pelbagai kemudahan pertahanan. – Bernama