• 2025-08-04 08:57 PM

PASIR PUTEH: Seorang bayi lelaki yang masih hidup ditemui di sebuah pondok bas di Jalan Lama Kulim menghala ke Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Tok Bali di Pasir Puteh pada kira-kira 1 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata bayi yang cukup sifat itu dibalut dengan kain pelekat dan diletakkan di atas lantai pondok bas berkenaan.

“Bayi terbabit telah dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh menerusi talian 09-7862005 atau tampil ke IPD untuk membantu siasatan - Bernama