KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pada usia 86 tahun di sebuah hospital swasta, pagi ini.

Pemergian Allahyarham atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin disahkan peguam beliau Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Menurut Gurdial Singh, Allahyarham dimasukkan ke hospital itu sejak dua minggu lepas.

Daim sebelum ini memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999-2001.

Menurut keluarga Daim dalam satu kenyataan, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada 8.21 pagi tadi.

“Sembahyang jenazah insya-Allah selepas asar di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.