KUALA LUMPUR: Seorang bekas pekerja syarikat hiburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu melibatkan 36 keping tiket tempat duduk VIP konsert penyanyi antarabangsa Andy Lau dan Jay Chou.

Thomas Lee Huat Sheng, 30, didakwa menipu seorang lelaki berusia 38 tahun dengan memperdaya mangsa dalam urusan mendapatkan 16 keping tiket tempat duduk VIP bagi konsert “Today...Is The Day Andy Lau Concert Tour 2024 In Malaysia” dan 20 tiket tempat duduk VIP bagi “Konsert Jay Chou’s Carnival World Tour 2024 Concert In Malaysia” yang urusan tersebut tidak wujud.

Konsert melibatkan Andy Lau berlangsung pada 24 hingga 27 Okt di Axiata Arena, Bukit Jalil manakala konsert Jay Chou pada 26 Okt di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perbuatan itu mendorong mangsa membuat pemindahan wang berjumlah RM67,608 menerusi tiga kali transaksi ke akaun bank milik Lee yang mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Bandar Kinrara, Puchong di sini antara 25 Mei hingga 5 Sept lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun peguam Norashikin Ibrahim yang mewakili Lee memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya seorang bapa tunggal dua anak serta mengalami bipolar.

Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Jan depan untuk sebutan semula kes.