MELAKA: Seorang bekas pengarah jabatan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa dengan melaburkan dana PBT berjumlah kira-kira RM50 juta dalam pasaran saham.

Majistret N. Sivashangari mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 57 tahun itu, berkuat kuasa hari ini hingga Isnin (23 Jun) depan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira 9 pagi diiringi beberapa pegawai SPRM Melaka.

Semalam, media melaporkan suspek ditahan kira-kira 1 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.

Menurut sumber, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara tahun 2020 hingga 2023 dengan melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank sebagai ejen pelaburan bagi tujuan pelaburan saham menggunakan dana awam.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan dana wang awam dan wang amanah itu tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan.

Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.