MELAKA: Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan menerima suapan berupa sebuah kereta mewah pada 2015.
Mohamad Ali membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan. Beliau didakwa menerima sebuah kenderaan jenis Range Rover Sport daripada seorang pengarah syarikat sebagai dorongan untuk menganugerahkan kerja-kerja subkontraktor bagi projek tambakan laut di Kota Laksamana.
Menurut kertas pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di pejabat syarikat berkenaan di Taman Kota Syahbandar, Melaka Tengah pada Jun 2015. Mohamad Ali didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah mengekalkan syarat jaminan yang ditetapkan sebelum ini, termasuk jaminan RM60,000, penyerahan pasport, dan larangan menghubungi saksi. Kes ini akan disebut semula pada 14 Ogos depan.
Sebelum ini, pada 18 Jun lalu, Mohamad Ali turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 20 pertuduhan rasuah melibatkan wang tunai RM235,000 dan tiga kereta mewah bagi projek sama.