• 2025-06-26 05:28 PM

JOHOR BAHRU: Dua warga Vietnam, Lee Yuen Fei, 45, dan Trieu Thi Mai, 22, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah berbahaya kira-kira dua minggu lalu.

Kesalahan pertama melibatkan pengedaran dadah jenis MDMA seberat 38,022 gram di Jalan Seri Orkid 25, Taman Seri Orkid, pada 14 Jun lepas.

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, penjara seumur hidup, atau sebat jika sabit kesalahan.

Selain itu, kedua-dua tertuduh juga didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 1,375 gram di lokasi dan masa yang sama.

Pendakwaan ini dikendalikan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000, penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi status laporan kimia.