• 2025-08-08 04:35 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Okt 2025, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian Kewangan akan menyelaras penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dan orang awam untuk mendapatkan input belanjawan selaras dengan keutamaan Ekonomi MADANI.

“Kerajaan komited untuk menterjemahkan input yang diterima ke dalam Belanjawan 2026 terutamanya yang dapat menyokong pemerkasaan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan tadbir urus yang lebih baik,” kata MOF menerusi kenyataan Prabelanjawan 2026 yang dikeluarkan hari.

Belanjawan 2026 adalah siri keempat Belanjawan MADANI yang dirangka bagi meneruskan Kerangka Ekonomi MADANI untuk memulihkan daya tahan fiskal, memperkukuh asas ekonomi dan mengangkat darjat hidup rakyat.

Belanjawan 2026 akan terus menelusuri tiga tonggak Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu pembaharuan, terutamanya tatakelola yang baik.

MOF berkata, belanjawan ini juga merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 - 2030 yang terus memaknai tiga tonggak utama Ekonomi MADANI itu.

“Berdepan ketidaktentuan global dan peningkatan persaingan, tumpuan Belanjawan 2026 terarah kepada penyampaian agenda ekonomi Malaysia jangka panjang di samping menangani cabaran jangka pendek bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan melindungi daya tahan ekonomi.

“Pada masa sama, usaha akan diambil bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi bantuan lebih bersasar berteraskan keberhasilan ke arah menambah baik kualiti hidup,” kata kementerian itu.

MOF berkata tumpuan utama tahun depan akan terus berteraskan kepada tiga tonggak Ekonomi MADANI selain merupakan pemula kepada pelaksanaan RMK13.

“Belanjawan 2026 akan terus memacu pendekatan berasaskan akar umbi dan berorientasikan rakyat, yang meletakkan keperluan komuniti sebagai nadi dasar awam.

“Selain itu, ia juga akan terus memajukan agenda Ekonomi MADANI melalui pendekatan berpusatkan rakyat yang menumpukan kepada keperluan masyarakat,” kata Kementerian Kewangan.

Menurutnya, dalam merangka Belanjawan 2026, kerajaan akan terus menggunakan pendekatan ini dengan mendapatkan maklum balas secara aktif daripada rakyat, perniagaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan dasar nasional adalah selari dengan realiti semasa.

Sebarang komen, maklum balas dan cadangan mengenai Belanjawan 2026 boleh disalurkan melalui portal rasmi https://belanjawan.mof.gov.my - BERNAMA