• 2025-10-10 08:03 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menaikkan kadar duti eksais ke atas produk rokok dan alkohol berkuat kuasa 1 November 2025 di bawah Belanjawan 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan dua sen bagi setiap batang rokok mulai tarikh tersebut.

Beliau turut menyatakan kenaikan RM40 per kilogram bagi produk cerut, cheroots dan cigarillos.

Produk ‘heated tobacco’ pula akan dikenakan kenaikan duti eksais sebanyak RM20 per kilogram.

Kerajaan juga melanjutkan pengecualian duti import dan cukai jualan untuk produk terapi gantian nikotin sehingga 31 Disember 2027.

Pengecualian ini turut diperluas kepada produk nicotine mist dan nicotine lozenges.

Bagi minuman beralkohol, kadar duti eksais akan dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai 1 November 2025.

Kenaikan ini bertujuan mengurangkan akses kepada minuman keras dan menggalakkan gaya hidup sihat.

Hasil tambahan daripada kenaikan duti rokok dan alkohol akan diagihkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dana tersebut akan digunakan untuk Inisiatif Kesihatan Paru-Paru KKM serta rawatan diabetes dan penyakit jantung.

Anwar yang juga Menteri Kewangan membuat pengumuman ini ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat. – Bernama