• 2025-10-10 09:20 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memperluas Bantuan Am Persekolahan kepada murid miskin sehingga Tingkatan 5 dengan peruntukan RM180 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan tersebut sebelum ini hanya diberikan kepada murid miskin sehingga Tingkatan 3.

Sebanyak 5.2 juta murid sekolah kerajaan akan menerima RM150 Bantuan Awal Persekolahan dengan peruntukan RM800 juta.

Penyaluran bantuan mulai 2026 akan dibuat di sekolah melalui guru kepada ibu bapa bagi memastikan hubungan baik antara guru dan ibu bapa.

Kementerian Pendidikan menerima peruntukan RM66.2 bilion berbanding RM64.2 bilion tahun ini dengan mutu prasarana sekolah kekal menjadi keutamaan.

Hampir RM2 bilion disediakan bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan akan membina 38 sekolah baharu untuk memenuhi keperluan penduduk setempat selain bilik darjah tambahan melalui kaedah sistem binaan berindustri.

RM100 juta disediakan bagi membina bilik darjah tambahan di lebih 100 sekolah berkepadatan tinggi.

Sebanyak 350 kelas prasekolah baharu akan dibina di bangunan sedia ada dengan peruntukan lebih RM100 juta.

Televisyen pintar akan dibekalkan kepada 10,800 kelas prasekolah, taska dan tabika seluruh negara dengan kos RM70 juta.

Kerajaan akan membina dua sekolah pendidikan khas baharu iaitu SMK Pendidikan Khas Kota Damansara di Selangor dan SMK Pendidikan Khas Pasir Mas di Kelantan.

Sebanyak 150,000 murid Orang Kurang Upaya akan menerima elaun RM150 sebulan dengan peruntukan RM270 juta.

RM30 juta diperuntukkan bagi menambah baik kemudahan dan peralatan sekolah supaya mesra OKU.

Program Anak Kita dengan kerjasama Yayasan Hasanah dilaksanakan dengan peruntukan RM30 juta bagi menangani isu keciciran pendidikan.

RM115 juta diperuntukkan bagi membekalkan guru dengan latihan persediaan kurikulum 2027 dan latihan pedagogi STEM. – Bernama