• 2025-10-10 09:07 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM110 juta dalam Belanjawan 2026 sebagai insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa untuk menghasilkan karya berkualiti tinggi di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan peruntukan itu termasuk RM10 juta khusus kepada penerbitan kandungan kenegaraan sebagai komitmen kerajaan MADANI mendukung penghasilan karya kreatif.

Beliau berkata kerajaan menyediakan RM20 juta untuk menyokong Ekosistem Kreatif Digital khususnya penggiat kreatif animasi dan permainan digital tempatan.

“RM10 juta insentif penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa di Malaysia bagi menarik pelancong asing bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Anwar menambah kerajaan bersetuju memberi kelonggaran perolehan kepada semua kementerian dan jabatan untuk memperoleh produk merchandise dan kandungan digital daripada penggiat kreatif animasi tempatan.

Beliau turut mengumumkan Hadiah Bahasa akan dihidupkan semula bagi menandakan tekad MADANI memperkasakan warisan bahasa Melayu sebagai lambang maruah dan keunggulan tamadun bangsa.

“Bahasa Melayu ialah nadi identiti bangsa dan wahana pemikiran kebangsaan yang mesti terus dipupuk dalam jiwa setiap rakyat,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan Kementerian Pendidikan akan terus mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di semua sekolah dan aliran pendidikan.

Beliau menyatakan terdapat kecuaian pelaksanaan yang bercambah di 249 sekolah antarabangsa mengenai pembelajaran bahasa Melayu dan kenegaraan.

Anwar menekankan sekolah antarabangsa harus memastikan pelaksanaan pembelajaran bahasa Melayu dan kenegaraan kepada semua anak Malaysia.

“Sesuai dengan tuntutan semasa, penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara harus diberikan keutamaan mulai dari peringkat rendah,” katanya. – Bernama