KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.26 bilion untuk kebajikan warga emas dalam Belanjawan 2026 yang melibatkan 180,000 orang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan ini merangkumi wang saku, bantuan sosioekonomi dan pusat aktiviti untuk golongan berkenaan.
Beliau menegaskan persediaan harus dimulakan sekarang bagi menjamin kesejahteraan hidup warga emas sambil memperkukuh ekonomi penjagaan dan solidariti sosial.
Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 akan digubal sebagai panduan strategik menyeluruh yang bakal diluncur semasa New Frontiers on Care Conference peringkat ASEAN November ini.
Anwar menyatakan Rancangan Malaysia Ke-13 akan menumpukan pembinaan ekosistem perkhidmatan penjagaan yang mampan, berkualiti, mudah diakses dan mampu bayar.
Kerajaan akan membangunkan piawaian nasional bagi sektor penjagaan sebagai asas pengiktirafan sektor ini sebagai bidang profesional.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menawarkan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional bagi pekerja jagaan dengan peruntukan RM5 juta.
Kumpulan Wang Persaraan telah merintis projek rumah warga emas mandiri di Kepala Batas, Pulau Pinang dengan komitmen RM300 juta.
KWAP juga sedang menilai potensi projek serupa di lokasi lain bagi memanfaatkan lebih ramai warga emas berpendapatan rendah.
Kerajaan bersetuju potongan cukai dua kali bagi syarikat yang menaja latihan untuk orang kurang upaya diperluas kepada penajaan program latihan pekerja jagaan yang diiktiraf. – Bernama