• 2025-10-10 09:15 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM7.9 bilion untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Belanjawan 2026.

Beliau berkata peningkatan berbanding RM7.5 bilion pada tahun ini bertujuan melatih lebih ramai bakat tempatan untuk memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi.

Anwar menyatakan Institusi TVET Kementerian Pendidikan disediakan RM1.3 bilion untuk mendidik 79,000 penuntut TVET.

“HRD Corp dengan dana RM3 bilion menawarkan tiga juta peluang latihan, terutamanya bagi sektor teknologi tinggi, digital dan peralihan tenaga,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

Beliau menambah Majlis TVET Negara akan memperkukuh ekosistem TVET dengan lebih menyeluruh, termasuk cadangan penggubalan RUU TVET.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Majlis TVET diperuntukkan RM45 juta bagi menerapkan ilmu teknologi digital dan kecerdasan buatan kepada 10,000 pelajar tahfiz dan pondok menerusi program IPT@Komuniti.

Beliau menyatakan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran akan menyediakan pembiayaan RM650 juta untuk manfaat lebih 25,000 pelatih, terutamanya bidang New Industrial Master Plan seperti AI, kenderaan elektrik dan semikonduktor.

Anwar berkata Jabatan Pembangunan Kemahiran melalui Program Akademi Dalam Industri juga akan melatih dan menyediakan peluang kerjaya bagi mengurangkan pekerja asing berkemahiran rendah dengan peruntukan RM34 juta.

“GiatMARA menawarkan latihan kepada lebih 13,000 golongan tumpuan termasuk pekerja gig,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan pembangunan sebuah Kolej Vokasional baharu di Sabah dan penaiktarafan kemudahan institusi TVET.

Hal itu termasuk pembinaan hangar baharu di Pusat Latihan Teknologi Tinggi Shah Alam untuk penyelenggaraan kapal terbang dan Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine di Universiti Malaysia Terengganu untuk bidang maritim dalam menyokong pembangunan ekonomi biru. – Bernama