• 2025-08-07 02:02 PM

PUTRAJAYA: Belanjawan 2026 akan diselaraskan dengan pelaksanaan inisiatif tahun pertama Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk memastikan hala tuju pembangunan negara bergerak seiring dengan kerangka dasar jangka masa sederhana yang telah dilancarkan sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2026 akan menekankan dua aspek utama iaitu usaha menaikkan siling untuk memacu pertumbuhan dan pelaburan strategik, serta menaikkan lantai demi menjamin kesejahteraan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

“Kita telah lancarkan Rancangan Malaysia ke-13, jadi Belanjawan 2026 mesti selari dengan pelaksanaan tahun pertama RMK13. Pelaksanaan ini harus berlandaskan hasrat kerangka besar RMK13 yang menekankan siling dan lantai yang harus dinaikkan,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Belanjawan 2026 di sini hari ini.

Menurut Takwim Parlimen, Belanjawan 2026 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober ini.

Menaikkan siling merujuk kepada strategi mempertingkatkan potensi dan daya saing negara melalui pelaburan dalam inovasi, teknologi serta pembangunan bakat, manakala menaikkan lantai pula bermaksud memperkukuh penyampaian perkhidmatan asas kerajaan seperti pendidikan dan kesihatan agar tiada golongan yang tercicir.

Anwar berkata pendekatan menaikkan siling akan terus merangsang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi, manakala menaikkan lantai memberi jaminan bahawa perkhidmatan asas kepada rakyat seperti pendidikan, kesihatan dan pendapatan minimum ditingkatkan, selari dengan agenda reformasi yang dibawa kerajaan.

Pendekatan tersebut merupakan antara strategi utama di bawah kerangka Ekonomi MADANI yang digariskan kerajaan untuk membangunkan negara secara seimbang dan inklusif -BERNAMA