• 2025-07-30 07:17 PM

KUALA LUMPUR: Isu gejala sosial dalam kalangan golongan muda di negara ini memerlukan kerjasama rapat antara masyarakat dan kerajaan bagi membendung perkara itu daripada terus berleluasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata berdasarkan statistik tahun lepas, terdapat peningkatan kes rogol dan sumbang mahram dalam kalangan golongan muda iaitu sebanyak 252 kes, berbanding 206 kes pada 2023.

“Lebih membimbangkan, hampir 91 peratus kes tersebut berlaku atas dasar persetujuan bersama antara remaja yang masih di bawah umur. Peningkatan mendadak kes rogol dan sumbang mahram dalam kalangan remaja bawah umur amat membimbangkan dan jika dibiarkan, negara bakal berdepan satu kecemasan sosial yang parah dan mampu meruntuhkan masa depan generasi muda,“ katanya ketika merasmikan Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) Peringkat Kebangsaan 2025.

Menyentuh mengenai isu kemurungan dalam kalangan golongan muda, Mohd Na’im berkata perkara itu sekiranya tidak ditangani boleh memberi kesan serius termasuk menyumbang kepada kes bunuh diri.

Beliau berkata berdasarkan rekod, kes berkenaan menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 1,087 kes pada 2023 berbanding 981 kes pada tahun sebelumnya.

Mohd Na’im turut berharap program J-KIS yang dilancarkan hari ini dan inisiatif seumpamanya dapat diperluas sekali gus memberi impak berpanjangan dalam kehidupan masyarakat.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata program J-KIS diadakan bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran golongan muda terhadap isu-isu sosial melalui slot menarik seperti “Jiwa Kacau: Kongsi atau Pendam?” dan “Mengurus Medsos; Anda, Dakwah & LGBT”.

“Program ini selari dengan aspirasi kerajaan melalui gagasan Islam Mekar di Bumi Malaysia yang memberi penekanan kepada pembangunan insan yang holistik, berintegriti dan bertanggungjawab dalam memacu kemajuan negara,“ katanya.

Program J-KIS dianjurkan JAKIM dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Kementerian Pendidikan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). - Bernama