KULAI: Projek perintis Bilik Kuliah Pintar dan Kelas Digital di enam kampus Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC-JTM) dilancarkan bagi memperkukuh integrasi antara pendidikan dan industri dalam ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata projek pembuktian konsep (POC) ini merupakan kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd.
Projek selama enam bulan ini dilaksanakan di ADTEC-JTM Kampus Senai, Kulai sebagai pusat rujukan utama untuk inisiatif bilik kuliah pintar.
Lima kampus lain turut dilengkapi kelas digital iaitu di Pasir Gudang, Johor Bahru, Pedas (Negeri Sembilan), Selandar (Melaka), Perai (Pulau Pinang), dan Jerantut (Pahang).
“POC ini adalah peringkat percubaan dan tidak melibatkan kos kepada KESUMA atau kerajaan kerana ia hasil kerjasama dengan Huawei susulan lawatan mengiringi Perdana Menteri ke China pada November tahun lepas,“ jelas Sim.
Beliau menambah bahawa lebih 40 tenaga pengajar telah menjalani latihan untuk memahami penggunaan sistem ini.
Projek ini dijangka meningkatkan kemahiran teknikal dan insaniah pelajar TVET.
Sim turut menekankan kepentingan kemahiran insaniah seperti komunikasi, pemikiran kritikal, dan kerja berpasukan.
“Institusi TVET bukan sekadar menyediakan kemahiran teknikal tetapi juga perlu membangunkan ‘power skill’ untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan,“ katanya. – Bernama