SEREMBAN: Ahli Parlimen Barisan Nasional memohon penangguhan sementara bacaan kedua Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh.
“Saya berpandangan RUU PSB ini yang telah pun dibaca untuk kali pertama di Dewan Rakyat dicadangkan untuk (dinilai semula) dari segi kelompongan.”
Beliau telah bermesyuarat dan berjumpa dengan semua ahli Parlimen BN mengenai kebimbangan terhadap rang undang-undang tersebut.
“Saya telah bermesyuarat dan berjumpa dengan semua ahli Parlimen BN, kami menyatakan kebimbangan dan mahu supaya RUU ini ditangguhkan, dan dibuat keterlibatan secara tuntas dengan semua pihak.”
Menteri Luar itu menegaskan BN berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menangguhkan RUU tersebut untuk rundingan bersama.
“Ini supaya apabila RUU ini diluluskan nanti, tidak ada mana-mana pihak yang menjadi mangsa.”
Mohamad membangkitkan kebimbangan khusus mengenai isu threshold persetujuan yang dicadangkan dalam rang undang-undang tersebut.
“Kami bimbang dengan isu threshold yang dicadangkan, pada asalnya memerlukan persetujuan 100 peratus daripada semua pemilik premis, tetapi kini mahu diturunkan kepada 80 peratus sahaja.”
Beliau mempersoalkan perlindungan hak pemilik yang tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan semula.
“Persoalannya, bagaimana dengan hak 20 peratus lagi? Perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya.”
RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Rang undang-undang ini bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan. – Bernama