• 2025-06-24 04:12 PM

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) akan menggunakan logo dacing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang, namun tetap mengamalkan pendekatan terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti lain.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu sentiasa mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak kerana mempercayai sikap keterbukaan dalam politik.

“Kita harap perbincangan semua positif. Tidak ada pintu yang harus dibuka seluas-luasnya dan tidak ada pintu yang ditutup serapat-rapatnya. Ertinya, ruangan perundingan dan kunjungan itu sering dilakukan,“ katanya selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.

Beliau menegaskan BN akan bertanding dengan logo dacing tetapi tidak menolak kolaborasi dengan gabungan parti lain. Perbincangan terperinci belum dijalankan kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah belum dibubarkan.

Mengenai pembahagian kerusi, Zahid berkata isu itu belum dibincangkan secara mendalam, namun BN komited untuk mengelakkan pertandingan sesama sendiri.

“Yang terbaik ialah kita mempunyai sikap terbuka dan tentunya kita mencari rakan lebih ramai daripada mencari musuh,“ jelasnya.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, membuka laluan untuk PRN Sabah ke-17.