KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 individu termasuk tujuh kanak-kanak menghadapi detik cemas selepas terperangkap dalam kejadian kepala air ketika sedang beriadah di Sungai Lepoh, Hulu Langat, Selangor, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu, pada 5.09 petang.
Beliau berkata sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dengan tujuh pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Komander Operasi melaporkan terdapat 18 mangsa terdiri daripada tiga lelaki, lapan wanita dan tujuh kanak-kanak terkandas akibat kepala air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata kesemua mangsa berjaya diselamatkan pada 6.32 petang.
Bagaimanapun, beliau berkata seorang wanita berumur dalam lingkungan 30-an mengalami sesak nafas dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan.